Saturday, May 1, 2010

Penderitaan KHABBAB BIN ALARAT

Khabbab ialah seorang manusia yang telah banyak berkorban kerana agama yang telah dianutinya. Dia awal-awal lagi telah memeluk agama Islam dan oleh yang demikian penderitaan yang ditanggungnya pun agak lama juga. Dia telah dipaksakan memakai baju besi dan disuruh berbaring di pasir, mendedahkan badannya kepada panas matahari yang terek hingga kulitnya mengelupas. Khabbab adalah seorang hamba abdi kepunyaan seorang perempuan. Apabila diketahui oleh si perempuan tadi yang dia sering melawati Nabi S.A.W, kepalanya diselar dengan besi panas yang merah membakar. Umar R.A.hu, semasa beliau menjadi khalifah, telah bertanya kepada Khabbab tentang penderitaannya di kala mula-mula menganuti Islam dahulu. Sebagai menjawab dia menunjukkan parut-parut luka di belakang badannya. Kata Umar, "Aku tidak pernah melihat belakang badan yang sedimikian rupa". Melanjutkan ceritanya dia mengatakan yang dia telah diheret di atas suatu timbunan bara api sehingga lemak-lemak dan darah yang mengalir dari badannya memadamkan bara-bara api itu. Apabila agama Islam telah merebak ke merata-rata tempat, Khabbab sering duduk menangis sambil berkata:
"Nampaknya ALLAH sedang memberi ganjaran bagi segala penderitaan yang kita telah alami. Mungkin di akhirat nanti tidak ada ganjaran yang bakal kita terima."

Begitulah pengorbanan para sahabat dalam menegakkan kebenaran agama Islam agar tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Apakah peranan kita sekarang?

No comments:

Post a Comment